Sejak Ahad lalu, pengarang dan isteri berasa sungguh pilu dan hiba atas pemergian salah seorang sahabat seperjuangan kami, Siti Hasnah Hamzah. Beliau yang merupakan isteri kepada Ahmad Naufal Jamri, telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Tapah pada hari Sabtu yang lalu. Setelah seharian berada dalam keadaan koma, beliau telah diisytiharkan meninggal dunia.

Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.

Pengarang tidak dapat hadir sama ketika solat dan pengkebumian jenazah dilakukan. Namun, apa yang terbaca dan terdengar oleh pengarang, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan arwah adalah seorang yang amat dikasihi Allah. Subhaanallah. Mudah-mudahan Allah menempatkan beliau bersama-sama orang yang beriman dan tinggi martabatnya.

Berita kematian beliau yang mengejut sangat memberi kesan pada diri pengarang. Malah, pengarang yakin perasaan ini pasti menyelinap ke dalam diri sahabat-sahabat pengarang yang seusia dengan beliau. Allah telah mengingatkan kita semua bahawa hidup dan mati berada di tangan-Nya. Kalau ‘hiduplah’ perintah-Nya, hiduplah kita. Kalau ‘matilah’ perintah-Nya, maka bertembunglah kita dengan ajal. Tak kira usia mahupun taraf, kematian itu pasti.

Pengarang tak dapat bayangkan perasaan suami yang sudah kehilangan isterinya yang tercinta. Orang yang melihat berasa sedih. Orang yang menghadapinya sudah pasti lagi berat kesedihannya. Isteri pengarang pernah mengingatkan bahawa manusia kebanyakannya akan berdoa agar dikurniakan kesenangan dunia; gaji yang banyak, pangkat yang tinggi, kenaikan pangkat, dan seangkatan dengannya. Namun, jarang sekali yang akan pinta agar dikurniakan ketabahan hati. Benar katanya. Hidup ini hanyalah satu putaran roda, ada naik dan turunnya. Yang baik tidak akan kekal dan akan bersilih ganti dengan ujian Tuhan. Oleh itu, marilah kita berdoa agar dikurniakan ketabahan hati dan kesabaran para Nabi. Sesungguhnya Allah itu bersama-sama orang yang bersabar!

Buat Naufal, Nazhan, dan Husna serta ahli keluarga yang lain, doa ketabahan inilah yang kami pohon untuk kalian. Semoga terus berbakti pada jalan Allah hingga ke akhirnya.

blank