Perspektif Kehidupan

Ummi April 14th, 2010

Just to share an article which I read from somewhere being stored in my collections…

Hidup ini indah. Adakala keindahan itu dilindung mendung dan awan kelabu. Adakala keindahan bertambah seri disinari mentari. Keindahan dan kesayuan silih berganti dan kita sendiri tidak pasti. Adakala kita berkobar-kobar dan mengimpikan syurga, lantas kita merasakan hidup ini penuh erti dan penuh isi. Adakala kita merasa sangat lemah dan terbayang neraka, lalu merasakan hidup ini tiada harapan lagi dan kosong tak bermakna. Kita termenung sendiri, mencari erti di sebalik perhentian-perhentian dalam kehidupan.

Kita tidak memilih untuk dihidupkan, tapi kita boleh memilih untuk hidup sepenuh hati. Begitu juga kita tidak tahu bila akan mati, namun kita boleh membuat persediaan menghadapinya. Dalam hidup ini, tak semua yang kita ingini akan kita perolehi dan tak semua yang kita miliki akan kekal abadi menjadi milik kita. Semalam takkan datang lagi dan besok pula belum pasti. Apakah harus kita merasa terlalu risau tentang sesuatu yang belum pasti sehinggakan lupa mengisi kehidupan hari ini yang pasti? Kita sedang hidup dan itu adalah suatu kepastian. Besok belum pasti dan itu urusan Dia yang tahu segala.

Hidup di dunia sementara, itu pasti. Satu hari di dunia berakhir tanpa kita sempat berbuat segala-galanya. Jangan biarkan umur kita berakhir tanpa kita sempat bersedia berpindah ke alam yang kekal selama-lamanya. Pernah suatu masa kita belum muncul di dunia, dan akan tiba masanya kita meninggalkan dunia. Persoalannya untuk apa kita dibawa ke dunia dan untuk apa pula nanti kita pergi darinya? Kita sendiri tidak pasti bila saatnya kita tersedar bahawa kita sedang hidup di dunia. Benarlah gambaran Al-Quran bahawa hidup kita di dunia ini hanya sepetang. Kita akan rasakan betapa singkatnya ia tatkala kita dibangkitkan di akhirat. Sedarkah kita?

Telah semakin dekat hari perhitungan amal manusia sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia) dan berpaling (dari akhirat)” Al-Anbiyaa’ : 1

Beruntunglah orang yang mengisi kehidupan dunia ini dengan sehabis baik kerana ada yang lebih baik menanti dalam kehidupan selepas dunia. Rugilah orang yang mensia-siakan kehidupan dunia kerana di sana menanti seksa selama-lamanya. Beruntunglah orang yang melihat dunia daripada perspektif pencipta kerana apa yang digambarkan sudah tentu menepati tujuan penciptaan. Rugilah orang yang memandang dunia dengan kaca mata nafsu kerana ia pasti terpesong daripada hala tuju.

Perspektif kehidupan ini digambarkan dalam Al-Quran dan dicontohi ke dalam kehidupan melalui As-Sunnah. Sungguh benar sabda Rasul bahawa tidak akan sesat orang yang berpegang kepada kedua-dua elemen yang menjadi dasar kepada kesejahteraan hidup di sini dan di sana.

Jika kita ingin hidup seperti mana yang kita kehendaki, bukan sepertimana yang Dia kehendaki, ciptalah satu bumi khusus untuk kita sendiri yang hanya kita berhak meletakkan aturan di dalamnya. Mampukah kita?

Jika tidak mampu, Percayalah bahawa perspektif kehidupan yang paling tepat adalah daripada Dia yang menciptakan kehidupan ini…

Lima: Suka dan Lupa

Abi March 25th, 2010

Nabi telah bersabda*:

Akan datang satu masa di mana umatku suka kepada lima dan lupa kepada lima:

  1. Gemar kepada dunia tetapi lupa kepada akhirat.
  2. Suka mencari harta tetapi melupakan hisab (perhitungan).
  3. Mencintai makhluk tetapi melupakan Pencipta.
  4. Banyak membuat dosa tetapi lupa untuk bertaubat.
  5. Membina istana (rumah-rumah yang indah) tetapi lupakan kubur.

Sumber: Buku ‘Penyingkapan Hati kepada Rahsia-rahsia Ilahi‘, Jilid 1, oleh Imam Al-Ghazali, terjemahan oleh Thahirah Abdur Rahman, tahqiq dan pembetulan oleh Syed Ahmad Semait, ISBN: 9971-77-539-5.

*Nota penting: Dalam karangan asal buku Imam Al-Ghazali, Mukaasyafatul-Qulub (مكاشفة القلوب المقرب لحضرة علام الغيوب), tidak disebut sanad hadis di atas. Namun, tidak salah untuk kita mengambil iktibar daripadanya sebagai renungan dan tuntutan anjakan darjat keimanan dalam diri. Selamat beramal!

Takutnya Seorang Khalil

Abi February 9th, 2010

Diriwayatkan pada suatu ketika, Nabi Ibrahim (‘alaihis salaam) berada dalam keadaan sangat takut hinggakan degupan jantung baginda dapat didengari sejauh satu mil. Hal ini berlaku apabila baginda teringat kesalahannya.

Maka turunlah Jibril lalu berkata, “Allah menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: Adakah kamu melihat khalil (kekasih) itu takut kepada KHALILnya?”

Nabi Ibrahim (‘alaihis salaam) seraya menjawab: “Wahai Jibril, apabila aku mengingati kesalahanku nescaya aku lupa akan ketemananku.”

Itu adalah Nabi Ibrahim (‘alaihis salaam) sendiri yang telah diangkat martabatnya sebagai kekasih (khalil) Allah. Apakah kita pun takut seperti baginda?

Kasih Ibu

Abi February 4th, 2010

Kalian pasti pernah mendengar riwayat seorang anak bernama Alqamah dan ibunya ketika zaman Rasulullah ﷺ. Gara-gara melebihkan isterinya hingga menyebabkan ibunya terasa hati, Alqamah menderita di kala sakaratul-maut. Alqamah bukanlah seorang yang dusta bahkan beliau seorang yang cukup warak dan alim di kalangan sahabat Nabi ﷺ.

Asyhadu an laa ilaaha illa-Allah, wa asyhadu anna Muhammad-ar-rasulullah … lafaz yang kerap kita ucapkan bukan hanya sekali sehari bahkan sekurang-kurangnya lima kali dalam sehari. Apa susahnya nak diucap? Si kecil pun boleh melakukannya. Namun lafaz itulah yang paling berat bagi lidah Alqamah. Entah mana datangnya kelu, entah mana datangnya belitan itu. Hanya kerana ibunya tercuit hati, Alqamah gagal dan sukar melafazkan syahadah. Lantaran itu, Nabi mengarahkan para sahabat agar Alqamah dibakar. Namun, ibu mana yang sanggup melihat anaknya dibakar hidup-hidup? Detik itu akhirnya membuka hati ibunya untuk memaafkan Alqamah. Maka terangkatlah azab yang dideritai Alqamah dan berolehlah beliau akan kematian dalam husnul-khatimah (pengakhiran yang baik).

Kasih ibu membawa ke syurga … seorang ibu mampu menjaga ramai anak namun seorang anak belum pasti mampu menjaga seorang ibu. Sama-sama kita renungkan.

Your Life, Your Choice!!!

Abi October 23rd, 2009

This video was forwarded to me via Facebook. Watch it, it’s an eye opener for sure!!
 
blank