Isu ‘Negarakuku’ telah menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya di kalangan kaum Melayu dan Cina negara ini. Di sini, aku tidak akan huraikan intipati lagu tersebut kerana terjemahan dan interpretasinya boleh didapati melalui Internet. Aku cuma akan utarakan pandangan dan luahan sahaja.

Berdasarkan blog Nicole Foo dan Monkey Wong, istilah ‘Negarakuku’ membawa dua makna. Satu, ‘kuku’ dalam bahasa dialek mereka membawa maksud alat sulit lelaki. Dua, tambahan ‘ku’ pada ‘Negaraku’ mungkin sahaja cara seorang rapper untuk menyanyikan lagu rap, yakni setiap akhir suku kata diulangi untuk memberi kesan gema (echo). Ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa penggubah lagu sengaja menamakannya sedemikian dengan membawa maksud ‘kuku’ yang sebenar. Nah, macam-macam tafsiran yang diberikan. Adakah anda setuju dengan mana-mana di atas?

Kali pertama aku terdengar tajuk lagu ini, ‘Negarakuku’, tak ada pula rasa peliknya. Yang ganjil cuma tambahan ‘ku’ pada akhirnya dan aku pasti mereka yang sudah bertahun-tahun menggunakan bahasa ibunda tercinta tak akan salah faham apabila mendengarnya/membacanya … apatah lagi mentafsirkannya seperti mana-mana yang di atas.

Apa logiknya bila negara kita dikaitkan dengan ‘alat sulit lelaki’? Adakah kerana bentuknya? Setahu aku, Malaysia ni berbentuk seperti ubi keladi. Lainlah kalau penggubah lagu sengaja ingin menghina negara. Kalau itu niatnya, memang wajarlah kerajaan mengambil tindakan.

Bagaimana pula jika tambahan ‘ku’ itu hanya kerana mengikut rentak rap … hanya untuk menambah echo lah katakan? Aku tidak setuju. Setakat ni, aku tak pernah dengar tajuk lagu yang berecho … lirik lagu yang berecho adalah.

Paling lucu sekali … pendapat yang menyatakan ‘kuku’ itu memang bermaksud ‘kuku’. Terguling-guling aku macam tenggiling. Aku tak dapat terima bahawa negara ini terdiri daripada rakyat kuku!!! Aduhai sang kuku, aku ni sudahlah besar, engkau pula kecil, tapi engkaulah yang dapat nama … macam-macam. Aku ingin nyatakan, jika ‘kuku’ di sini memang bermaksud kuku di tangan/kaki, maka tajuk tersebut tidak munasabah. Aku pasti penggubah lagu pun tak ada niat untuk menamakannya ‘Negara kuku’ tetapi ‘Negarakuku’.

Jika kita lihat sahaja pada tatabahasanya sudah memadai untuk faham maksud ‘Negarakuku’. Aku perasan dalam klip lagu ini, tajuknya dieja ‘Negarakuku’ dan bukan ‘Negara kuku’. Ditulis secara formalnya, ‘Negaraku Aku’, yakni ‘Aku’ punya ‘Negaraku’. Yang ini barulah masuk akal kerana memang ‘Negaraku’ yang bukan asli itu digubah oleh penggubah lagu itu sendiri (Wee Meng Chee).

Apa jua niat Wee Meng Chee, yang pasti lagunya telah menyentuh sensitiviti umat Islam dan menimbulkan kemarahan sebahagian daripada kita di Malaysia ini. Lagu Negaraku adalah lambang cinta kita kepada negara … menghormatinya adalah wajar, tak kiralah siapa pun. Malah, dalam Islam, kecintaan pada negara (yang tidak melampau) merupakan sebahagian daripada tuntutan iman.

Dalam lagunya, Wee Meng Chee telah menyelitkan beberapa rangkap yang menyindir negara. Antaranya menyentuh tentang ketidakadilan kerajaan kepada kaum Cina … hmm, aku tak tahu nak kata apa. Dulu mungkin benar, tetapi sekarang ni rasanya dah berubah. Aku rasa hak-hak yang dulunya diberi kepada orang Melayu sudah terbuka kepada bukan Melayu. Tapi wallahu a’alam, aku tak tahu apa rasanya jadi orang Cina di sini.

Dalam blog Monkey Wong, aku ada terbaca komentar seorang dengan nama samaran ‘Benci Cina’. Katanya:

“Mengapa mesti mengutuk Islam? Nak kutuk Melayu silalah! Masing – masing ada kelemahan dan kekuatan. Islam itu sempurna, yang menjadikannya tidak adalah umatnya. Melayu dan Islam adalah dua benda yang berlainan. Sekarang,oleh kerana Namawee (Wee Meng Chee), saya adalah seorang anti-Cina dan anti-Buddha. Seriously, I hate Chinese, and recently, Buddha is also uncluding in the list!!”

Wah, wah … bukan main lagi. Aku kagum atas usahanya membela agama … tapi … I say manuslub tak berapa kenalah. Sudah tentu sebagai seorang Muslim, kita dapat menerima hakikat Islam itu lengkap, sempurna, menyeluruh, dan sebagainya. But please..lah, how do you expect a non-Muslim to accept that??? Kenapa pula nak benci Cina apabila yang salahnya seorang sahaja? Aku tahu ramai lagi Cina yang baik-baik belaka. Kalau nak tahu, nota Bahasa Arab yang aku sedang guna pun hasil usaha seorang Cina.

Maaf jika apa yang aku nyatakan lebih memihak kepada orang Cina … tapi niatku bukan begitu. Aku cuma bependapat banyak lagi isu yang kita patut prihatin sebagai seorang Muslim. Apalah sangat kerosakan yang boleh dibawa oleh ‘Negarakuku’ itu …. sedangkan umat Islam sudah sedia kala berada dalam keadaan kritikal; yang akhlaknya kurang senonoh lagi jelik, yang pakaiannya ketat-ketat menampakkan susuk badan, yang subuh gajahnya makin menjadi-jadi, tak kurang pulang yang solatnya makin ditinggalkan, yang Qur’annya sudah lama dibiarkan sehingga berhabuk mashafnya dan hatinya, dan banyak lagi. Aku katakan ini bukan untuk kalian sahaja tetapi untuk diriku jua …. kerana aku sendiri berada dalam dilema umat akhir zaman ini. Hasratku cuma satu: semoga ditempatkan di Raudhatul-Jannah bersama-sama orang yang aku kasihi … amin.

Sekian peringatan buat teman-teman yang dikasihi.



Leave a Comment

blank